KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi disini hari ini, mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan keatas seorang setiausaha kerja sebuah persatuan atas tiga pertuduhan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak yang juga anak asuhan ibunya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata lazimnya apabila kes membabitkan seorang mangsa kanak-kanak, selalunya ia memerlukan laporan sokongan.

“Dalam kes ini, laporan sokongan tidak diperolehi namun keterangan yang telah diberikan oleh mangsa dan saksi pendakwaan telah diterima.

“Mahkamah telah meneliti semua keterangan dikemukakan dan keterangan yang telah diberi oleh saksi pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan yang munasabah,” katanya ketika membacakan keputusan.

Susulan keputusan itu, peguam Mazri Mohamad yang mewakili tertuduh, memohon penangguhan hukuman atas alasan pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Natassa Zaini membantah permohonan berkenaan kerana permohonan penangguhan perlu dibuat secara formal dan tidak ada keadaan yang mendesak.

Noorin membenarkan penangguhan hukuman itu dengan syarat tambahan.

“Walaupun bersetuju dengan bantahan TPR, saya menggunakan budi bicara mahkamah untuk membenarkan penangguhan hukuman tertakluk kepada notis rayuan difailkan oleh pihak perayu pada atau sebelum 9 September 2024.

“Jika tidak ada rayuan yang difailkan, perintah penangguhan dibatalkan,” katanya.

Natassa turut memohon jaminan keatas tertuduh dinaikkan daripada RM20,000 ke RM50,000.

Mahkamah mengekalkan jaminan pada RM20,000, namun perayu dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada Isnin pertama setiap bulan sehingga rayuan di mahkamah rayuan selesai.

Ketika ditemui selepas prosiding, Mazri memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan sebelum atau pada 9 September ini seperti diarahkan mahkamah.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kanak-kanak yang berusia lapan tahun ketika kejadian dengan mencium mulut dan memegang kemaluan mangsa.

Dia turut didakwa melakukan amang seksual keatas mangsa yang sama dengan menyuruh kanak-kanak itu memegang kemaluan tertuduh dengan tujuan seksual.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 hingga 7 November 2020, jam 8 malam hingga 9 malam di dalam sebuah bilik di sebuah pangsapuri di Jalan Ipoh, disini.

Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 14(a) Akta kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 [AKTA 792] yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan tambahan kedua, dia dituduh melakukan persetubuhan diluar tabii dengan memasukan kemaluannya ke dalam mulut mangsa yang sama tanpa kerelaan atau bertentangan dengan kemahuan mangsa

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa dibawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Pada 12 September 2023, Mahkamah Sesyen disini mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan enam sebatan untuk kesemua pertuduhan.

Mahkamah ketika itu mengarahkan hukuman penjara untuk setiap pertuduhan dijalankan secara serentak.

BH ONLINE