KUCHING — Mangsa terakhir tragedi perahu penambang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di Lundu, Selasa lalu ditemui lemas hari ini.

Mayat pelajar perempuan, Alsma Jithil, 14, yang terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dijumpai penduduk kampung pada jam 6.38 pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata mayat mangsa kemudian diambil oleh anggota Sarawak Coast Guard yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan apabila semua tiga mangsa ditemui,” katanya.

Mayat mangsa pertama iaitu pelajar lelaki, Vilkie Wilson, 15, ditemukan oleh SAR pada 11.58 pagi semalam manakala mangsa kedua, Helena Fasha Petrus, 16, ditemukan pada 5.30 petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.10 pagi Selasa lalu, seramai 15 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, seorang pelajar SMK Lundu dan empat penduduk kampung termasuk pengemudi menaiki perahu tambang berkenaan.

Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan arus sungai deras.

BH ONLINE

LATEST POSTS