Maut jatuh pokok kelapa

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di bawah pokok kelapa di Kampung Rhu Muda, Marang, di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 47 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan muka tersembam pada tanah oleh adik iparnya berusia lingkungan 30-an pada jam 4.44 petang.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan, berkata lelaki itu dikatakan keluar dari pagi kelmarin untuk memanjat kelapa, tetapi tidak pulang sehinggalah semalam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota polis ke lokasi kejadian dan menemui mayat di bawah pokok kelapa. Turut ditemui seutas tali panjang, sebilah parang dan sebuah kereta sorong milik mangsa,” katanya, hari ini.

Mohd Sofian berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan yang ke lokasi kejadian pada jam 6.05 petang semalam.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian muka disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

“Jenazah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian pada 11.20 malam tadi,” katanya.

BH ONLINE