BESUT — Seorang wanita warga Thailand maut selepas terjatuh dari pokok petai di Kampung Pasir Kanan, Padang Bual, Hulu Besut di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata Hameedah Derasing Mamong, 53, disahkan meninggal dunia di rumah seorang ahli keluarga di Kampung Lepan Kejor, Hulu Besut.
Katanya, mangsa yang berasal dari Yala, Thailand ditemukan parah oleh ahli keluarganya sebelum dibawa pulang.
Beliau berkata, pengadu yang juga wanita berusia 57 tahun bersama mangsa yang juga adik iparnya pergi ke kebun kira-kira jam 9 pagi kelmarin.
“Setibanya di kebun itu, mangsa memaklumkan mahu melihat pokok petai manakala kakak iparnya melihat pokok duku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, kakak ipar mangsa terdengar bunyi benda jatuh tidak lama kemudian dan bergegas untuk memeriksa sebelum menemui mangsa terbaring kesakitan.
“Beliau dan suami membawa Hameedah pulang ke rumah sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.47 petang.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
BH ONLINE