SUNGAI SIPUT — Kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan mati di kawasan berpaya perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini selepas dilaporkan hilang sejak semalaman, disyaki mati akibat dibunuh, selain dipercayai turut dirogol.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata susulan itu kes yang pada mulanya diklasifikasikan mati mengejut (SDR), diklasifikasi semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Katanya, ia susulan keputusan hasil bedah siasat yang selesai dijalankan jam 4 petang tadi ke atas mayat mangsa yang mendapati terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluan mangsa.

“Susulan itu seorang lelaki berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan polis sekitar jam 5.30 petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, mayat mangsa, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, semalam.

Mohd Khaizam dilaporkan, berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kira-kira 1.30 awal pagi semalam yang memaklumkan berkenaan Nuraina Humaira, 10, yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat petang.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang semalam selepas pencarian dilakukan oleh kira-kira 60 orang membabitkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia sejak 7 pagi.

“Jumpa badan mangsa ini dalam kawasan berpaya berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Peringkat awal kita klasifikasi kes orang hilang, kemudian apabila dah jumpa dan disahkan kematian mangsa oleh Hospital Sungai Siput pada 7 petang, kita klasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

“Mayat sudah dihantar ke Hospital Sungai Siput malam tadi, kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat, mangsa mempunyai masalah pendengaran dan pada Jumaat lepas, mangsa hendak makan ayam goreng di sebuah surau di perkampungan itu selepas solat Jumaat, namun telah habis.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah pulang ke rumah dan diberi wang oleh ibunya untuk membeli ayam di kedai berdekatan tetapi ayam tiada.

“Dia (mangsa) pergi ke kedai, ayam tiada dan dia balik ke rumah beritahu emaknya bahawa ayam tiada, jadi bapa saudaranya yang perlu lakukan kerja lain seketika, suruh (mangsa) tunggu sekejap sebelum dia (bapa saudaranya) bawa ke kedai lain.

“Jadi masa menunggu itu, dia (mangsa) main dekat taman permainan, ada buaian di kawasan itu, selepas itu tak jumpa dia. Tunggu balik pun tak balik, sebab selalunya lepas main dia balik,” katanya.

Penduduk di kawasan berkenaan melakukan pencarian setelah mendapati kanak-kanak itu hilang sebelum usaha mereka gagal dan terus membuat laporan polis.

BH ONLINE

LATEST POSTS