KOTA TINGGI — Nelayan tempatan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya ketika memancing seorang diri dilaporkan karam di Kampung Sayang, Kuala Sedili di sini, kelmarin, ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mayat mangsa berusia 26 tahun itu ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga disambung kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Pada jam 10.10 pagi, pasukan SAR berjaya menjumpai satu mayat lelaki dewasa lengkap berpakaian dalam keadaan terapung di atas permukaan air kira-kira 500 meter dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Ibu mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dengan penemuan itu, operasi SAR orang hilang di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 12 tengah hari.

Semalam, Yusof dalam satu kenyataan mengesahkan ada menerima makluman mengenai kejadian lelaki itu yang hilang pada jam 12.46 tengah hari kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika sedang memancing di atas bot berseorangan pada jam 9.45 pagi.

“Pada jam 10.50 pagi, pengadu memberitahu ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan, dia menjumpai satu tong minyak dan satu bekas minuman dipercayai milik mangsa terapung di permukaan air.

“Pengadu tidak menjumpai bot atau kelibat mangsa di kawasan sekitar dan kemudian terus ke Balai Polis Kuala Sedili bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, Yusof berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kuala Sedili digerakkan ke lokasi untuk mengawal situasi dan PKTK dibuka pada jam 3.30 petang di Jeti Sungai Kampung Sayang.

Operasi SAR terdiri daripada pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan dan Ketua Kampung.

BH ONLINE