BAYAN LEPAS — Seorang pekerja asing lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan di tapak pembinaan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dilapor parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, susulan itu sepasukan pegawai penyiasat JKKP ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat kes berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pekerja kontraktor yang dilantik menjalankan kerja mengecat dan plaster di tapak pembinaan itu.

“Lelaki itu dilapor terjatuh dari tingkat lapan ketika sedang melompat keluar dari gondola (akses gantung sementara) ke tingkat lapan.

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, notis pemberhentian serta-merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara bagi kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan terbabit dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

JKKP juga mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKPP Pulau Pinang.

“Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan rakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti, selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“Majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, selain komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.

BH ONLINE