KUALA LUMPUR — Rombongan seramai 68 penjawat awam diaturkan ke Berlin di Jerman hanya untuk menghadiri satu pameran kecil, adalah mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan sedang melaksanakan usaha penjimatan, kata Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.
Malah, beliau berkata, lebih mendukacitakan ialah perkara itu sepatutnya dikendalikan pada peringkat jabatan tetapi terpaksa ditangani sendiri pula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rombongan ramai ke luar negara itu begitu mengejutkan pada saat kerajaan hari ini mahu menjalankan langkah-langkah penjimatan.
“Malah, apabila sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri, ia jelas lebih mendukacitakan. Tidak sepatutnya perkara ini berlaku sehingga Perdana Menteri sendiri terpaksa mengambil tindakan pembatalan.
“Ia harus ditangani pada peringkat ketua-ketua perkhidmatan yang perlu membuat teguran kerana itu adalah perkara asas yang menyentuh langkah penjimatan dan tatakelola,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau membatalkan rombongan 68 penjawat awam untuk menghadiri satu pameran kecil di Berlin, bagi mengelak pembaziran wang rakyat.
Perdana Menteri dipetik menegaskan tiada keperluan bagi kepergian rombongan itu hanya untuk menghadiri pameran kecil, walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi semua penjawat awam berkenaan sudah disediakan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada tindakan transformasi yang perlu dilakukan terhadap kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, kos ke luar negara itu boleh dijimatkan dengan membenarkan pegawai-pegawai yang perlu saja untuk melakukan perjalanan ke destinasi tanpa membabitkan gerombolan besar penjawat awam.
Tambahan pula, beliau berkata, Malaysia sudah mewujudkan agensi-agensi luar negara yang mempunyai perwakilan, termasuk pegawai di kedutaan yang boleh mewakili negara ke acara berkenaan.
“Optimumkan pegawai-pegawai di sana kerana mereka sudah ditempatkan untuk mewakili kerajaan. Mereka boleh memberi maklum balas segera kepada pegawai di sini kerana kaedah perhubungan sekarang sangat mudah dan canggih, tanpa memerlukan kehadiran fizikal pun,” katanya.
Beliau turut menasihati penjawat awam supaya tidak terus berlegar-legar dengan isu lama yang tidak selari dengan usaha dilakukan kerajaan, termasuk kenaikan gaji.
“Ambil kira hasrat kerajaan yang mahukan produktiviti segera. Jika kita masih berlegar-legar dengan isu lama tanpa pendekatan baharu, ia tidak menunjukkan komitmen kita sebagai penjawat awam,” katanya.
BH ONLINE