KUALA LUMPUR — Meta Platforms Inc (META) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk memberi penjelasan berhubung tindakan menyekat beberapa hantaran di Facebook dan Instagram Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berkaitan ucapan takziah dikongsi Perdana Menteri kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran minggu lalu.

Gangguan sama berlaku sekali lagi malam tadi ke atas siaran langsung sempena Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium AXIATA Bukit Jalil, di sini.

Difahamkan, Perdana Menteri sendiri mahu mendengar penjelasan lanjut daripada META berhubung beberapa tindakan gangguan serta sekatan ke atas akaun media sosialnya itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada minggu lalu memaklumkan META sedang menyiasat berhubung sekatan itu.

Fahmi berkata, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga memberitahu agak keliru dengan sekatan itu, namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Semakan di akaun Facebook Anwar sebelum ini mendapati, tiga hantarannya bagi mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, turut disertakan dengan kapsyen ‘Dangerous individuals and organisations’.

Instagram pula memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi ‘simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya’.

BH ONLINE

LATEST POSTS