BANDARAYA MEXICO – “Mexico dihormati, kami bukan tanah jajahan atau naungan mana-mana negara,” kata Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pada Isnin.
Semasa mempengerusikan sambutan Hari Bendera di Campo Marte, sebuah padang ekuestrian tentera, presiden menekankan inisiatif pembaharuan perlembagaan untuk melindungi negara daripada campur tangan asing, menegaskan “ia tidak lagi seperti sebelum ini apabila kerajaan berlutut di hadapan kerajaan asing atau melihat ke luar negara untuk contoh ikutan”.
Pembaharuan dicadangkan itu bertujuan “untuk mengingatkan seluruh dunia bahawa Mexico adalah sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat dan rakyatnya tidak membenarkan pencabulan kedaulatannya,” katanya.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa rakyat Mexico tidak akan menerima intervensi, campur tangan, atau sebarang tindakan lain dari luar negara dalam apa jua keadaan yang membahayakan integriti, kemerdekaan dan kedaulatan negara,” tegasnya.
Sebagai komander Angkatan Bersenjata Mexico, dia memberi penghormatan kepada bendera itu, menyebutnya “simbol migran, simbol rakyat kita dalam perjuangan tanpa jemu untuk keadilan, dan simbol, terutama sekali, kemerdekaan kita.”
Pembaharuan yang dicadangkan itu tindak balas terhadap penetapan kartel dadah Mexico baru-baru ini oleh AS sebagai organisasi pengganas, serta penahanan kontroversi pengedar dadah Ismael ‘El Mayo’ Zambada pada Julai, yang dilakukan oleh pihak berkuasa AS tanpa melibatkan pegawai Mexico.
XINHUA