KUALA LUMPUR — Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa pihak pembelaaan sudah membuktikan bahawa 99 peratus wang yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, tidak digunakannya bagi tujuan peribadi.

Muhammad Shafee yang mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata sebaliknya anak guamnya menggunakan jutaan ringgit dana yang dipercayainya adalah derma daripada Arab Saudi, untuk faedah awam.

Peguam itu berkata, ia bertentangan dengan tingkah laku rasuah apabila seseorang mengambil wang dan membelanjakan bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya bagi faedah orang ramai.

“Kami membuktikan bahawa wang berkenaan tidak digunakan bagi kegunaan peribadi, sebagai contoh beliau tidak membeli pesawat peribadi, atau membelanjakan di sebuah bar di New York, atau melakukan perkara seumpamanya,” katanya.

Peguam itu berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengenai perbezaan di antara membelanjakan wang bagi tujuan politik dan menggunakan dana terbabit untuk kegunaan peribadi.

Ketika disoal Sequerah sama ada beliau mempunyai nas undang-undang melalui kes duluan yang boleh menyokong hujahannya, Muhammad Shafee menjawab, ia adalah kesimpulan fakta dan tidak ada duluan mengenainya.

Hakim kemudian bertanyakan persoalan sama kepada Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar, yang kemudian menjawab, pendakwaan hanya mengambil perhatian terhadap fakta bahawa wang yang masuk ke akaun Najib itu datang daripada hasil haram.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pula menambah, bahawa ia tidak kita sama ada Najib menggunakan wang berkenaan untuk tujuan peribadi atau politik.

“Undang-undang menyatakan bahawa (wang terbabit) adalah untuk keuntungannya,” katanya.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung petang.

BH ONLINE

LATEST POSTS