KUALA LUMPUR — Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menghubunginya secara peribadi untuk memberikan atau mengambil arahan bagi Lembaga Pengarah syarikat itu.
Ismee yang dinamakan sebagai pihak ketiga responden dalam kes saman SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil, berkata demikian ketika disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu.
Ketika menjawab soalan peguam berkenaan, Ismee berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada Najib ada menghubungi bekas pengarah lain untuk memberikan arahan secara peribadi kepada mereka.
Sementara itu, Ismee bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu terdiri daripada sekumpulan profesional dan bukannya mereka yang boleh diarah membuta tuli oleh Najib.
Saksi itu juga bersetuju Nik Faisal ialah seorang akauntan bertauliah dan datang daripada latar belakang keluarga yang baik-baik.
Ketika perbicaraan jenayah membabitkan penyelewengan dana SRC yang dihadapi Najib, mahkamah pernah dimaklumkan Nik Faisal ialah cucu bekas Menteri Besar Kelantan dan bekas Speaker Dewan Rakyat.
Muhammad Shafee: Najib tidak mengenali mana-mana Ahli Lembaga Pengarah secara peribadi dan tidak mengupah ‘boneka’ untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah, walaupun beliau (Najib) memegang kuasa tunggal untuk melantik pengarah mengikut Perkara 117 Memorandum dan Artikel SRC?
Ismee: Ya.
Muhammad Shafee: Jika Najib mahu Lembaga Pengarah menjadi boneka, iaitu beliau ketua boneka, beliau tidak akan memilih Ahli Lembaga Pengarah yang layak dan mempunyai kebijaksanaan serta kelayakan tinggi. Adakah itu satu kenyataan yang adil?
Ismee: Ya, ia satu kenyataan yang adil.
Muhammad Shafee: Beliau sudah tentu akan memilih seseorang yang boleh menjadi pak turut dan tidak akan memilih orang yang berkelayakan tinggi?
Ismee: Ya.
Ismee dalam keterangannya sebelum ini, memberitahu mahkamah, beliau tidak mungkin membantah atau tidak melakukan arahan diberikan oleh Najib yang juga pemegang saham tunggal SRC kerana baginya, segala yang dilakukan oleh Najib untuk kebaikan negara.
Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.
Dalam kes saman terbabit, Ismee dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah, iaitu Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.
Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 17 September ini dengan Najib dijangka memberikan keterangan.
BH ONLINE