KUCHING — Seorang guru agama lemas selepas menyelam kerana mahu melepaskan mata kailnya yang tersangkut di sungai berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak, Bintangor, hari ini.
Kejadian ketika Muhamad Ikram Imran, 26, kakitangan Hal Ehwal Islam Hospital Sarikei, memancing bersama dua rakannya dan dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), jam 11.45 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sepasukan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, termasuk enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Sibu diarah ke lokasi yang berjarak 52 kilometer.
“Setiba di lokasi jam 1.21 tengah hari, komander operasi melaporkan kejadian membabitkan mangsa hilang ketika sedang berusaha melepaskan kail yang tersangkut di tengah sungai.
“Kejadian kira-kira 50 meter dari jeti SK Nanga Wak, mangsa menaiki bot bersama dua rakannya,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dijumpai pada 7.51 malam oleh anggota PPDA dalam radius 50 meter dari lokasi terakhir dia menyelam sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
BH ONLINE