KUALA LUMPUR — Nasib tiga beradik yang hidup tanpa ibu bapa di Kampung Padang Siam, dekat Tanah Merah, Kelantan mendapat pembelaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Tiga beradik itu Mohd Hakimi Abd Hadi, 18; Mohd Hafizul, 16 dan Nur Hidayah, 13, kini tinggal di rumah disewa yang dibiayai sendiri selepas ibu mereka meninggal dunia akibat barah dua tahun lalu.

Sementara itu, bapa mereka jarang balik ke rumah selepas bercerai dan kini menetap di Thailand.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau terpanggil untuk membantu selepas menerima maklumat daripada rakan Facebook mengenai kisah menyayat hati tiga beradik itu.

Beliau berkata, Hakimi mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, manakala Hafizul terpaksa bekerja sebagai buruh binaan untuk menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk tanggungan sekolah adiknya, Hidayah.

“Kelmarin saya minta sahabat saya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari (selaku) Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah untuk mewakili saya menziarahi mereka bersama Pengarah KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) Pasir Mas, Supardi Amaludin dan Pegawai Yayasan Darul Hanan untuk membantu keluarga ini.

“Alhamdulillah, dengan bantuan KKTM Pasir Mas, Adik Hakimi ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan seterusnya akan menyambung pengajian ke UniKL sehingga mendapat sijil profesional kategori A4 yang menawarkan gaji yang premium.

“Adik Hafizul juga akan ditawarkan untuk ke GiatMARA bagi mendalami ilmu TVET (Pendidikan dan Latihan teknikal dan Vokasional) yang mampu menjana pekerjaan melalui kemahiran dipelajari, manakala adik Hidayah ditawarkan oleh pengetua sekolah tempatan untuk ditempatkan di asrama serta kos pembelajaran ditanggung sepenuhnya pengajian oleh Yayasan Darul Hanan,” katanya melalui satu muat naik di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan miskin bukanlah alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana hanya dengan ilmu sahajalah yang mampu mengubah nasib keluarga kita.

“Insya-Allah, saya dan MARA akan terus komited untuk membela dan membantu anak bangsa melalui pendidikan,” katanya.

BH ONLINE

LATEST POSTS