SHAH ALAM — Nelayan yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika sedang mencari ketam dan umpun pagi semalam ditemui lemas berhampiran Jeti Pengkalan Sayang Disayang, Kampung Rantau Panjang, Klang, dekat sini, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 1 tengah hari.
“Lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dipercayai terjatuh dari sampan. Ia ditemui lemas pada jarak lima ke 10 meter (dari tempat terjatuh) kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang mencari ketam dan umpun dan bersendirian di atas sampan berkenaan.
“Mayat dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima laporan insiden itu jam 10.49 pagi semalam.
Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara bergegas ke lokasi.
BH ONLINE