CHUKAI — Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua mangsa bot karam yang dilanggar sebuah tongkang Ahad lalu ditamatkan petang tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 7 petang ini berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan pasukan penyelamat.
“Kita melakukan pencarian meliputi seluruh kawasan pencarian seluas 407.84 batu nautika persegi iaitu 291 batu nautika persegi melalui udara dan 116.24 nautika batu persegi pencarian di laut.
“Kita turut melakukan selaman di tiga lokasi bagi mengesan bangkai bot yang karam meliputi kawasan seluas 120 meter persegi,” katanya.
Katanya, operasi pencarian dibantu penyelam daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dua pesawat udara jenis Bombardier dari Maritim dan AW 139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Bagaimanapun, mulai esok keluasan operasi pencarian selepas itu akan dilakukan dalam skala kecil membabitkan dua aset Maritim Malaysia.
“Kita berharap nelayan yang menemui sebarang objek menyerupai manusia di tengah laut diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Ahad, bot yang dikemudi tekong Saipul Ridzuan Osman, 50, bersama pembantunya serta tujuh pemancing karam selepas dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Berikutan kejadian itu, pembantu tekong bot, Shahril Ismail, 50, dan Sati Zamimah Mohman Zobini, 29, meninggal dunia.
Dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Lima mangsa lain yang selamat ialah, Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50.
BH ONLINE