KULIM – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau melintas di jalan berhampiran Lampu Isyarat Batu Putih, di sini, malam tadi.
Mohamad Fazli Mohd Zin, 43, dari Bukit Sang, Jalan Mahang, Karangan meninggal dunia akibat parah di kepala dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam jam 8.10 malam memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam. Penunggang motosikal jenis SYM VF3I 185 LE itu dipercayai dari arah Kulim menghala ke Mahang, namun apabila tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba seekor kerbau melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan berlaku rempuhan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan tangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
BH ONLINE