BATU PAHAT – Dua lelaki yang tular di media sosial kerana bergaduh selepas kereta mereka bergesel, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh-gempar di tempat awam pada Rabu lalu.
Pengawal keselamatan, Farit Ahmad, 38, dan tukang masak, Ahmad Razali Santiong, 59, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca bersama, sebelum Majistret, Arun Noval Dass, mengenakan denda RM700 setiap seorang.
Majistret turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu. Kedua-duanya membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan gaduh-gempar dengan cara memukul hingga mendatangkan kegentaran kepada orang awam di Jalan Bahagia 1, Taman Bahagia, Ayer Hitam di sini, 6.20 petang, 2 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang sabit boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, kereta dipandu Ahmad Razali bergesel cermin sisi kenderaan ulititi sukan (SUV) dipandu Fitri, namun lelaki itu tidak memberhentikan keretanya.
Ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati sebelum berlaku pertengkaran di lokasi kejadian dan insiden itu turut dirakam ahli keluarga seorang tertuduh sebelum tular di media sosial.
Kejadian itu turut disaksikan beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan di tempat awam.
Kedua-dua tertuduh turut cedera ringan sebelum masing-masing mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.
Pergaduhan di antara kedua-duanya menyebabkan jalan raya menjadi sesak disebabkan orang ramai keluar berhari raya.
Susulan insiden itu, kedua-duanya membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Suhaila Shafi’uddin.
BH ONLINE