BAYAN LEPAS – Seorang lelaki warga emas ditahan kerana disyaki merogol wanita orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, Ahad lalu.

Suspek berusia 64 tahun dikatakan melakukan perbuatan itu lebih daripada sekali di sebuah rumah di Kampung Kolam Ikan, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata terdahulu ketiadaan wanita berusia 27 tahun itu di rumah disedari ibu mangsa jam 6 petang, sebelum dia ke rumah suspek bersama rakan anaknya.

Sebaik wanita berkenaan tiba di rumah suspek yang juga sepupunya, didapati mangsa berada dalam bilik mandi dalam keadaan bogel.

“Mangsa menceritakan kepada rakannya suspek yang dipanggil ‘Pak Long’ itu membuka baju dan merogolnya.

“Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut Sazalee berkata, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja tinggal bersendirian di rumah berkenaan manakala isteri dan anaknya menetap di Georgetown.

Mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pernah bersekolah dan tinggal bersama ibu, adik beradik serta keluarga sepupunya.

“Kejadian terakhir berlaku di ruang tamu rumah berkenaan pada Ahad lalu dan ia dipercayai berlaku lebih daripada sekali.

“Mangsa tidak dapat nyatakan berapa kali (kejadian seks) berlaku dengan suspek kerana berstatus OKU masalah pembelajaran sejak kecil serta tidak mampu beri keterangan jelas,” katanya.

Menurut Sazalee, siasatan mendapati mangsa pergi ke rumah suspek seorang diri dengan berjalan selepas keluarganya ke tempat kerja.

Selain bulu dan rambut, kesan tompokan air mani turut ditemukan di tilam dan baju kemeja-T milik suspek.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan suspek sudah ditahan pada hari sama serta mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.

BH ONLINE


Facebook Posts