KUANTAN – Sepasang suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di kediaman mereka di sebuah rumah kedai di Kampung Sungai Ruan, Raub, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata mayat Wong Tong Seng, 75, ditemui dalam keadaan terbaring dan sudah berulat di hadapan sinki dapur, manakala mayat isterinya, Loh Kam Ngo, 73, dalam keadaan terbaring di bucu katil dalam bilik tengah rumah berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dan keadaan rumah berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahril berkata siasatan lanjut dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raub mendapati punca kematian kedua-dua mangsa disebabkan Sindrom Koronari Akut(serangan jantung).
Katanya, Kam Ngo menghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lepas, manakala suaminya pula dilaporkan pernah menerima rawatan jantung di Klinik Kesihatan Ulu Gali.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
BH ONLINE – BERNAMA