KEMAMAN — Usaha pencarian bot dan dua lagi mangsa tragedi bot karam yang dilanggar tongkang kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Kemaman diteruskan pasukan penyelamat dengan menggunakan khidmat penyelam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata,
sembilan penyelam dari Skuadrom Selam pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia meneruskan pencarian di lokasi kejadian.
“Pencarian itu turut membabitkan tiga aset laut milik Maritim Malaysia dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM).
“Operasi dari hari pertama kejadian sehingga tengahari ini bagi mencari bot terbabit serta dua mangsa, Aina Husna Mohamad Husaini,25, dan Yusof Kassam, 66, setakat ini masih menemui jalan buntu,” katanya ditemui, hari ini.
Beliau berkata, pasukan penyelamat juga mendapatkan khidmat tekong bot yang terbabit tragedi itu, Saipul Ridzuan Osman, 50, untuk membawa sebuah bot lain yang dilengkapi alat sonar untuk mengesan lokasi botnya yang karam.
“Setakat jam 1 tengah hari ini, pasukan penyelam telah turun ke lokasi pertama dan akan melakukan selaman di dua lagi lokasi,” katanya.
Muhamad Faisal berkata, operasi hari ini dikecilkan, hanya membabitkan anggota Maritim dan JKDM selepas tiga hari operasi bersepadu dilakukan.
“Selama operasi ini, lebih 80 anggota penyelamat dengan pelbagai agensi termasuk polis. Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia terbabit,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi, Ahad lalu bot dinaiki sembilan pemancing termasuk dua tekong yang berlabuh dilokasi kejadian dilanggar sebuah tongkang yang menyebabkan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail,50, meninggal dunia.
Dua lagi pemancing, Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, masih belum ditemui sementara lima lagi mangsa berjaya diselamatkan.
BH ONLINE