KUALA TERENGGANU — Dua penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera manakala seorang lagi jatuh ke laut selepas diserang sekumpulan nelayan asing Vietnam, semalam.

Kejadian berlaku ketika dua pegawai dan anggota daripada Kapal Maritim (KM) RAWA memeriksa kapal nelayan asing terbabit yang ditahan kerana menceroboh perairan negara ketika melakukan Ops Naga Barat, pada kedudukan 125 batu nautika, jam 6.45 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid, berkata ketika melakukan pemeriksaan ke atas bot terbabit, secara tiba-tiba semua nelayan asing yang berada di atas kapal bertindak secara agresif menyerang anggota yang sedang menggeledah.

“Berikutan itu, berlaku pergelutan apabila pegawai terbabit cuba mempertahankan diri daripada serangan nelayan asing yang menggunakan objek tajam.

“Kedua-dua yang cedera adalah Leftenan Madya Maritim Yusuf Kamal dan Laskar Kanan Maritim Mujibur Rahman Mat Jusoh, dengan masing-masing cedera pada rusuk kiri, tangan serta kaki akibat dilibas dengan objek tajam.

“Seorang lagi anggota terjatuh ke laut ketika pergelutan namun berjaya diselamatkan kru KM RAWA,” katanya ketika dihubungi.

Khairul Anuar berkata, ketika kejadian, sebuah kapal penguat kuasa negara Vietnam turut berada berhampiran lokasi dan cuba mengganggu tugas Maritim Malaysia bagi menahan kesemua nelayan terbabit.

Katanya, bagi mengawal situasi getir itu, KM RAWA mengambil tindakan mengusir kapal nelayan dan kapal penguat kuasa negara berkenaan keluar dari perairan negara sebelum berpatah balik ke Jeti Maritim Negeri Terengganu.

Katanya, KM RAWA tiba di jeti pada jam 7.30 petang dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Semua mereka kini dilaporkan stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital,” katanya.

BH ONLINE

LATEST POSTS