KEPALA BATAS — Seorang pekerja lelaki warga asing maut selepas terjatuh dari bumbung bangunan setinggi 18 meter (m) di sebuah tapak pembinaan di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja membuka acuan (formwork) pada struktur bumbung lubang aliran udara di bangunan berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, sepasukan pegawai penyiasat JKKP ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat kes.
“Siasatan awal mendapati mangsa dilantik sebagai pekerja am dari sebuah syarikat subkontraktor untuk menjalankan kerja-kerja membuka ‘formwork’ pada struktur bumbung lubang aliran udara pada bangunan dikenali sebagai ‘dog house’ untuk pekerja.
“Mangsa ditemukan di aras bawah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja membabitkan struktur aliran udara pada bangunan di kawasan kejadian dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
“JKKP mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan.
“Mereka juga perlu membuat pembentangan kes kepada jabatan.
“Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen dan keterangan berkaitan.
“Majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
BH ONLINE