BATU PAHAT – Pekerja kilang didenda RM1,200 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan wanita berperwatakan lelaki yang didakwa mengganggu isterinya.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil pengakuan bersalah dibuat tertuduh, Mohd Johan Misri, 40, selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 32 tahun di sebuah stesen minyak, Bandar Baru Ayer Hitam, di sini, jam 9.50 malam, 16 Mac lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana oleh dipenjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu yang juga mangsa berada di hadapan stesen minyak terbabit, didatangi tertuduh lalu memukulnya.
Siasatan mendapati, insiden itu berpunca apabila tertuduh berang terhadap mangsa yang berperwatakan lelaki kerana kerap mengganggu isterinya.
Malah, tertuduh mendakwa ia bukan perkara baru sebaliknya sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu ketika mula-mula mendirikan rumah tangga.
Kemuncaknya apabila tertuduh hilang sabar lalu bertemu mangsa di lokasi kejadian sebelum melepaskan geram terhadapnya.
Laporan pemeriksaan perubatan mendapat mangsa cedera ringan di mulut lalu membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zulyati Awang.
Selain hukuman denda, mahkamah juga memerintah tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
BH ONLINE