BATU PAHAT — Pekerja sebuah pasar raya maut, selepas motosikal ditunggang merempuh kenderaan yang membuat pusingan U di Kilometer 33.5, Jalan Kluang-Ayer Hitam, malam tadi.

Kemalangan jam 10.15 malam menyebabkan mangsa, Muhammad Johan Ja’afar, 25, parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kemalangan keadaan lokasi gelap yang mana kerja-kerja pembinaan untuk pembesaran jalan masih dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner, Shahrulanuar Anuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku apabila kereta dipandu wanita berusia 44 tahun dari sebelah kiri sebuah kedai makan mahu membuat pusingan U.

Ketika itu motosikal ditunggang mangsa datang dari arah belakang, tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta terbabit.

“Wanita terbabit mahu bergerak dari sebuah kedai makan dan dia membuat pusingan U namun motosikal mangsa datang lalu merempuh keretanya.

“Mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi manakala wanita tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Shahrul Anuar berkata, siasatan berkaitan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat agar tampil menyalurkan makluimat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.

BH ONLINE

LATEST POSTS