KOTA BHARU — Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota ditemui lemas dalam tali air di Kampung Padang Enggang, di sini, petang tadi, selepas disyaki tergelincir ketika sedang mandi.

Mayat Muhammad Faris Mohd Nor, 14, dijumpai jam 6.29 petang, kira-kira lapan meter dari lokasi beliau dilaporkan tergelincir dan hilang.

Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Ramli Abdullah berkata sebelum kejadian mangsa mandi bersama dua rakannya sebelum tergelincir ke dalam tali air.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.08 petang.

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi pencarian dimulakan dengan membuat pencarian di permukaan dan mangsa dijumpai di dasar tali air itu,” katanya.

Ramli berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk proses bedah siasat.

BH ONLINE