SIK — Pelajar lelaki tingkatan lima maut dihempap pokok di Kampung Charuk Sireh, di sini ketika dalam perjalanan ke sekolahnya, hari ini.
Mangsa, Muhammad Assif Md Zahid, 17, meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata kejadian itu diketahui ibu mangsa yang berusia 46 tahun selepas dihubungi suaminya pada jam 7.44 pagi.
Katanya, ketika kejadian ibu mangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dalam perjalanan dari Felda Teloi Timur ke tempat kerjanya di Sungai Petani.
“Suaminya meminta berpatah balik dan memaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak mereka.
“Ketika tiba di lokasi, ibu mangsa berselisih dengan kereta suaminya dan terus mengikut suaminya ke Hospital Sik sebelum dimaklumkan anak mereka meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jenazah pelajar itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada kesan jenayah atau khianat ditemui,” katanya.
BH ONLINE