MARANG — Polis masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital mengenai kejadian pelajar Tingkatan Empat tidak sedarkan diri di pekarangan sekolah di Kemaman selepas dikatakan menghisap rokok elektronik.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata sebarang tindakan lanjut dalam kes itu akan diambil selepas laporan perubatan itu diterima.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya melihat perlunya ketetapan dan libat urus jitu bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.

“Sebab dari segi ini (penguatkuasaan), ia (peruntukan undang-undang berkaitan rokok elektronik) tiada dalam Akta Dadah (Akta Dadah Berbahaya 1952) pun, macam ketum ia di bawah Akta Racun 1952.

“Pihak kerajaan larang merokok di tempat-tempat awam termasuk rokok elektronik. Jadi untuk langkah seterusnya mesti ada satu ketetapan yang tepat bagaimana melihat perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian seorang pelajar Tingkatan Empat dipercayai tidak sedarkan diri di pekarangan sekolahnya di Kemaman selepas menghisap rokok elektronik.

Terdahulu, Mohd Khairi merasmikan Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Terengganu di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Payung, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Khairi mengakui usaha mengekang pembabitan pelajar dengan vape dan rokok elektronik tidak mencukupi sekadar di sekolah semata-mata.

“Bagaimana harus mengekang (penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar)… kalau di sekolah saya melihat tidak cukup sebab di sekolah hanya beberapa jam sahaja.

“Di rumah ibu bapa perlu memainkan peranan. Sebab kalau cuti sekolah, cikgu hanya (ada) masa sekolah (dan) kalau cuti sekolah panjang, ibu bapa (sebenarnya) harus main peranan, harus lihat apa kesan kepada anak-anak mereka,” katanya.

Mohd Khairi berkata, pihaknya ada membuat pertemuan dan lawatan ke sekolah melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dalam usaha mencegah pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Melaluinya, katanya Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah akan melakukan lawatan satu atau dua kali sebulan bagi mengumpul maklumat serta membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah dan salah laku pelajar di sekolah.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata pelajar terbabit masih dalam rawatan dan pemantauan hospital.

Katanya, pelajar terbabit masih memerlukan rawatan doktor selepas lebih seminggu dimasukkan ke Hospital Kemaman.

“Pelajar terbabit masih dalam rawatan dan pemantauan hospital,” katanya ringkas.

Ketika ditanya berhubung siasatan polis terhadap pelajar terbabit, Dr Kasemani enggan mengulas lanjut.

BH ONLINE

LATEST POSTS