BATU PAHAT – Peniaga yang dikesan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang wanita serta mencederakan dua anak mangsa yang dalam perjalanan pulang daripada beraya pada Rabu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Nur Syam Abdul Razak, 24, yang berjalan terenjut-enjut kerana turut cedera dalam kemalangan itu, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan dan kematian penumpang kereta, Halimatul Sa’adiah Mohamed, 59.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit dilakukan di Kilometer 119.5, Jalan Johor Bahru-Melaka dekat Tanjung Laboh di sini, pada jam 2 pagi, 3 April lalu.

Didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000.

Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya butiran sabitan kes diendorskan pada lesen memandu serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Berdasarkan laporan, pada jam 2 pagi berlaku kemalangan membabitkan dua buah kereta di Tanjung Laboh hingga menyebabkan salah seorang mangsa meninggal di tempat kejadian.

Siasatan polis mendapati kereta dipandu tertuduh dalam perjalanan ke Pontian dari Batu Pahat terbabas lalu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dinaiki mangsa serta dua anaknya.

Kemalangan berlaku ketika mangsa tiga beranak dalam perjalanan pulang ke Jasin, Melaka selepas mereka berkumpul di rumah kakaknya di Rengit pada hari raya ketiga.

Mangsa tiga beranak dilaporkan bertolak pulang pada jam 1 pagi selepas selesai berkumpul bersama adik beradik lain.

Mangsa maut di tempat kejadian manakala dua anak masing-masing lelaki yang juga pemandu kereta berusia 26 tahun serta anak perempuan berusia 29 tahun parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ujian saringan air kencing terhadap tertuduh sebaik ditahan selepas kemalangan mendapati dia positif dadah jenis methampethamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk laporan patologi dan lantikan peguam

Pada masa sama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun gagal membayarnya.

BH ONLINE


Facebook Posts