IPOH — Seorang pemandu jengkaut tidak mengaku salah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak tirinya, pada 2022 dan tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun itu minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Pantai Remis, April tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan amang seksual fizikal di lokasi sama, pada Mei 2023.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal seorang lagi kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia sembilan tahun bagi maksud seksual di lokasi sama pada 2022.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara penjara maksimum 20 tahun dan sebat, manakala Seksyen 16(1) akta itu pula memperuntukkan tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun serta sebatan minimum dua kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah membenarkan jaminan minimum dengan alasan hanya berpendapatan RM120 sehari perlu menanggung isteri, tiga anak dan orang tua yang sakit strok.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober depan untuk lantikan peguam.

BH ONLINE

LATEST POSTS