KOTA TINGGI — Seorang pemandu kereta maut, manakala penumpangnya dan seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 56.7 Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata kemalangan pada jam 7.10 malam itu berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 25 tahun itu yang datang dari arah Johor Bahru memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit bertembung sebuah lori, seterusnya menyebabkan lori dipandu lelaki berusia 47 tahun hilang kawalan dan terbabas lalu bergesel dengan sebuah kereta Perodua Alza.

“Kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan lori kemudian berpusing dan berlanggar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, menyebabkan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penumpang Perodua Bezza dan penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini, manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE-BERNAMA