KUALA LUMPUR — Seorang pemandu lori kontena disahkan maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 441.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, laporan kemalangan membabitkan masing-masing sebuah kereta, lori treler dan lori kontena diterima Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada jam 6.02 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sebaik menerima laporan, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan ini, bagaimanapun dua lagi mangsa iaitu pemandu lori treler dan pemandu Proton Persona, hanya cedera ringan.

“Dua mangsa dalam lori treler dan Proton Persona , kedua-duanya lelaki berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Pemandu lori kontena yang dalam keadaan tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba pada jam 6.51 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, BH melaporkan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan laluan ke selatan dari arah Sungai Buaya ke Rawang sesak 8 kilometer (km) akibat nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 441.2 membabitkan sebuah kereta dan dua treler, pagi ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi akaun X @plustrafik memaklumkan kemalangan itu mengakibatkan kesesakan aliran trafik di kedua-dua arah lebuh raya terbabit sesak.

BH ONLINE