KUALA LUMPUR — Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 14.9, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Pantai Dalam, pagi tadi.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada jam 8.28 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sohirol Rizal Madon, berkata kebakaran membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya.
“Pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa berusia 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sohirol Rizal berkata, kenderaan terbabit terbakar 100 peratus dan operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.
BH ONLINE