KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu tadbir kewangan sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki membuat tuntutan palsu untuk penginapan hotel berjumlah RM20,000.
Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, di sini, sekitar jam 10 pagi tadi.
Menurut sumber, suspek disyaki mengemukakan 23 resit tuntutan penginapan hotel atas nama empat individu sedangkan semua penama terbabit dikatakan tidak pernah menginap di hotel berkenaan.
“Resit palsu terbabit menggunakan nama beberapa hotel di negeri ini.
“Suspek disyaki menggunakan sebuah aplikasi dalam talian bagi membuat resit-resit palsu itu,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, esok,” katanya.
BH ONLINE