SEREMBAN — Pembantu tadbir sebuah kolej vokasional didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan barang keperluan pejabat kolej berjumlah lebih RM20,000.

Foziana Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat memperdayakan kolej berkenaan apabila menggunakan Baucar Bayaran Bagi Pembekalan Barang Keperluan Pejabat bertarikh 5 Disember 2022 berjumlah RM4,757.10.

Tertuduh mempunyai kepentingan dan sebab mempercayai dokumen itu mengandungi butir matan palsu, yang mana sebenarnya pembekalan tidak dibuat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama menggunakan baucar sama bertarikh 6 Januari 2023 membabitkan jumlah RM17,301.50.

Perbuatan dilakukan pada 5 Disember 2022 dan 6 Januari 2023 di kolej berkenaan, dekat Rembau.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon jaminan RM8,000 dikenakan dengan seorang penjamin selain suami tertuduh serta dua syarat tambahan.

Peguam Noramin Petra Norhanapiah yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM5,000 memandangkan tertuduh dan suami menanggung enam anak berusia empat hingga 16 tahun dengan pendapatan kurang RM6,000 sebulan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan tertuduh perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban sehingga kes selesai.

Sebutan semula pada 13 September depan.

BH ONLINE

LATEST POSTS