KULAI — Penganggur yang didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu, dihadapkan ke ke Mahkamah Majistret Kulai di sini, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki bantal panjang anime kanak-kanak perempuan berbogel dan alat sulit wanita palsu, 24 Julai lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Bagi pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa memiliki tiga bantal panjang masing-masing berwarna putih, hijau dan putih merah jambu bergambar anime kanak-kanak perempuan bogel, selain satu bantal panjang berwarna putih bergambar anime kanak-kanak perempuan berseluar pendek.
Bagi pertuduhan kelima sehingga ketujuh pula, tertuduh didakwa memiliki tiga alat sulit wanita palsu.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kesalahan berkenaan dilakukan di kediaman keluarganya di Taman Sri Kulai, di sini, kira-kira jam 4 petang, pada 24 Julai lalu.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Joharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nur Zafirah Norizan dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil.
Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM21,000 bagi ketujuh-tujuh pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan ditanggung ibunya.
“Ibu tertuduh adalah ibu tunggal yang membuat pelbagai pekerjaan bagi menanggung hidup mereka termasuk bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji bulanan tidak lebih RM3,000 sebulan.
“Tertuduh turut dikenakan jaminan RM50,000 atas lapan pertuduhan di Mahkamah Johor Bahru pagi tadi. Oleh itu, dimohon mahkamah mengurangkan jaminan di sini atas alasan yang diberikan,” kata peguam.
Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 bagi semua tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 September depan bagi pengurusan kes.
Pagi tadi, Leang dilaporkan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di Johor Bahru, atas lapan pertuduhan menculik, membuat pengurungan salah dan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, selain mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, bulan lalu.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rasidah Roslee dan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mangsa dilaporkan hilang oleh ibu bapanya yang berniaga di Festival Bon Odori dekat pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri di sini, kira-kira 8.30 malam, 20 Julai lalu.
Ibu bapa kanak-kanak itu kemudian membuat laporan polis jam 12.30 tengah malam, 21 Julai lalu sebelum operasi mencari dan menyelamatkannya dilancarkan polis.
Polis kemudian dilaporkan menahan tiga individu termasuk seorang wanita pada jam 1.30 petang, 22 Julai lalu, sebelum seorang lagi wanita ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam, 23 Julai lalu.
Empat suspek bagi dua tangkapan ini yang berusia antara 28 hingga 55 tahun kemudian ditahan reman selama empat hari, sebelum kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis sebaik tempoh reman mereka tamat.
Leang pula adalah individu kelima yang ditahan kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, ketika polis berjaya menjumpai kanak-kanak perempuan berkenaan di lokasi terbabit.
Dia kemudiannya ditahan reman selama tujuh hari dan bersambung enam hari lagi, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, Ahad lalu, sebaik tempoh reman itu tamat.
Bagaimanapun, polis membuat tangkapan semula terhadapnya pada hari yang sama susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya dekat Kulai.
Dia kemudian direman enam hari bermula Ahad lalu, sebelum didakwa hari ini.
BH ONLINE