SIK — Seorang lelaki terbunuh di Kampung Bandar Hilir, di sini, petang tadi dipercayai dihempap pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal di kawasan berkenaan.
Mangsa dikenali Mohd Rizal Aziz, 47, dari Kampung Tanjung Besar, Mukim Teloi, di sini dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal ditempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang tadi ketika ribut dan angin kencang sedang melanda daerah ini.
Katanya, sebatang pokok dipercayai tumbang secara tiba-tiba ketika kejadian dan menghempap mangsa yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
“Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) ke lokasi untuk mengawal tempat kejadian sejurus menerima laporan.
“Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik bersama pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik memberi bantuan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan kawalan lalu lintas di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdull Razak berkata ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kubur, Bandar Hilir.
Sementara itu, Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 5.57 petang.
“Anggota kami menggunakan gergaji untuk memotong dahan pokok tumbang dan kemudian menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.
BH ONLINE