SUNGAI PETANI – Seorang penjenayah yang mempunyai lebih 30 rekod jenayah ditembak mati ketika berbalas tembak dengan polis di Bandar Puteri Jaya, di sini petang, semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 34 tahun itu dipercayai ditembak dalam operasi khas yang dilakukan di lokasi kejadian jam 7.50 petang semalam.
Beliau berkata, polis percaya suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan dua suspek yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jitra, pagi semalam.
Katanya operasi dilakukan oleh JSJ Bukit Aman dengan kerjasama pegawai dan anggota polis dari JSJ Kontinjen Kedah.
“Apa yang berlaku hari ini, suspek yang berasal dari Perak yang juga ahli kumpulan samun yang terbabit dalam samun bersenjata api di semenanjung Malaysia membabitkan empat negeri.
“Kita berusaha menjejaki suspek dan usaha menahannya dijalankan dan berlaku berbalas tembak sehingga menyebabkan penjenayah terbabit tumpas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian, tengah malam tadi.
Fadil berkata, dalam kejadian ini, satu senjata api ditemui dan beberapa kes yang lain.
Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan ini aktif melakukan samun kedai emas sejak 2022 membabitkan kerugian lebih RM6 juta yang direkodkan.
“Malah kita percaya ada banyak lagi kejadian samun membabitkan kilang, premis perniagaan, kedai emas yang berada di negeri lain yang kita percaya ada hubungi kait dengan kejadian yang dilakukan kumpulan ini.
“Setakat ini kita kenal pasti kumpulan ini terbabit dalam belasan orang dan akan ada lagi beberapa tangkapan serta serbuan dalam masa terdekat yang akan diambil tindakan.
“Berkenaan dengan suspek ini mempunyai lebih 30 rekod jenayah dan setakat risikan yang kita lakukan, suspek juga terbabit dalam tiga kes terbaru yang berlaku di Melaka pada Disember lalu dan di Nilai, Negeri Sembilan pada Mac lalu serta di Ipoh, Perak,” katanya.
Fadil berkata, pihaknya percaya kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian berbalas tembak dengan polis di susur masuk Kilometer 38 Lebuhraya Utara Selatan dari Bandar Darul Aman di Jitra menghala ke selatan yang berlaku pada jam 8.05 pagi tadi. (semalam).
Katanya, suspek antara yang mengetuai kumpulan dalam kejadian samun bersenjata api yang saya nyatakan tadi.
“Setakat ini siasatan masih diteruskan dan berharap kerjasama orang ramai untuk membantu polis.
“Apa yang kita tahu suspek dipercayai berasal dari Perak dan kesemua kejadian jenayah terancang seperti ini terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan gengsterism, pemerasan dan perebutan kuasa,” katanya.
Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
BH ONLINE