PONTIAN – Penunggang motosikal wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu 5 1/2 Kampung Penerok, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, kemalangan berlaku membabitkan tiga buah kenderaan, kereta Toyota Vios, Perodua MyVi dan sebuah motosikal Honda RSX.
Katanya, lokasi kejadian kemalangan hanya beberapa meter dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) See Woon.
“Siasatan awal, motosikal yang tunggang wanita berkenaan dalam perjalanan dari arah Kukup menghala ke Pontian melanggar sebuah kereta yang berada di simpang kiri jalan yang keluar dan membelok ke kanan jalan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan dikenali Nur Shahira Danish Abdullah berusia 18 tahun tercampak di atas jalan raya dan dilanggar kereta dari arah Pontian menghala ke Kukup yang difahamkan pemandunya tidak sempat mengelak, ” katanya dalam kenyataanya.
Katanya, mangsa (penunggang motosikal) mengalami cedera parah dikepala, badan dan kaki meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pihak Kementerian Kesihataan Malaysia (KKM).
Mohammad Shofee berkata, mangsa dihantar
ke Hospital Pontian untuk bedah siasat, manakala dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
” Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dimana jika sabit kesalahan penjara 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 dan RM50,000.
“Selain itu, jika sabit kesalahan hilang juga hilang kelayakan memegang lesen mamandu selama tempoh tidak kurang lima tahun, ” katanya.
Katanya, orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang – undang serta peraturan – peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya.
BH ONLINE