BANDARAYA GAZA, Wilayah Palestin – Agensi pertahanan awam Gaza berkata serangan udara Israel ke atas sebuah pusat perlindungan sekolah pada Sabtu membunuh lapan orang, termasuk dua kanak-kanak, manakala tentera Israel berkata ia menyasarkan militan Hamas.

Jurucakap agensi itu Mahmud Bassal mengesahkan lapan orang, termasuk dua kanak-kanak dan dua wanita terbunuh oleh serangan Israel ke atas sekolah Halwa di bandar Jabalia, utara Gaza.

Bassal berkata serangan itu mencederakan 30 orang, termasuk 19 kanak-kanak, dan sekolah Halwa menempatkan “ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal”.

Tentera Israel, dalam satu kenyataan, mengakui ia melakukan serangan ke atas kemudahan itu.

Ia berkata tentera udara “menjalankan serangan tepat ke atas pengganas di pusat arahan dan kawalan” yang sebelum ini sebagai sekolah Halwa di Jabaliya.

Ia berkata ia menyasarkan premis itu kerana “sekolah itu telah digunakan oleh pengganas Hamas untuk merancang dan melaksanakan serangan”.

Serangan itu adalah yang terbaharu dalam siri serangan Israel ke atas bangunan sekolah yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal di Gaza, di mana pertempuran telah berlarutan selama lebih 14 bulan.

Serangan ke atas sekolah Al-Jawni yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di tengah Gaza pada 11 September menimbulkan bantahan antarabangsa selepas agensi PBB bagi pelarian Palestin, UNRWA, berkata enam kakitangannya adalah antara 18 yang dilaporkan terkorban.

Tentera Israel menuduh Hamas bersembunyi di bangunan sekolah di mana beribu-ribu penduduk Gaza mencari perlindungan – satu tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan militan Palestin itu.

Sekurang-kurangnya 46,537 rakyat Palestin, majoriti daripada mereka orang awam, telah terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak perang bermula, menurut data yang diberikan oleh kementerian kesihatan.

AN-AFP