IPOH – Memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian mengenai pembekalan air terawat ke Pulau Pinang melalui Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) tidak dapat dimeterai tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ia susulan banyak proses perlu dilalui seperti kelulusan kementerian berkaitan mengenai pembinaan loji rawatan air (LRA) di wilayah utara Perak, selain beberapa perkara yang perlu dibincang seperti kadar tarif jualan.
Katanya, MoU atau perjanjian tidak boleh dibuat terutama apabila kadar tarif jualan ditentukan pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Kalau kita nak buat perjanjian sekarang, berdasarkan apa? Tak boleh sebab nanti tarif akan ditentukan oleh kementerian, bukan kita.
“Kita setuju supaya lagi cepat ia (LRA) dibuat lagi bagus tetapi bergantung kepada peruntukan kementerian.
“Banyak lagi proses perlu dilalui, kita tak mungkin buat dalam tempoh setahun ini kerana membabitkan pembangunan dan pembinaan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat; dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan.
Saarani mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dilapor mengumumkan negeri itu akan memeterai MoU atau perjanjian mengenai pembiayaan bersama Perak atas skim SPRWTS pada 2024.
Di bawah skim itu, Perak akan membekalkan air terawat dengan Pulau Pinang meminta pembekalan 700 juta liter sehari (mld), sebagai sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030.
Berdasarkan pelan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan membelanjakan RM1.18 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk meningkatkan bekalan air negeri kepada 602 juta liter sehari.
Mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahu pembekalan 700 mld, Saarani berkata, secara asasnya Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang namun tertakluk kepada kecukupan penggunaan domestik di Perak.
Tanpa kelulusan peruntukan kementerian berhubung pembinaan LRA di utara Perak, katanya, tiada perjanjian boleh dibuat kerana ia bergantung kepada keberkesanan jawatankuasa bersama kedua-dua negeri dalam meyakinkan kementerian untuk meluluskan peruntukan.
BH Online