DAMSYIK – Lebih 528,500 orang terbunuh dalam perang saudara Syria, kata pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights pada Rabu.
Jumlah keseluruhan termasuk ribuan terbunuh sejak 2011 yang hanya disahkan maut baru-baru ini, dengan akses ke pusat tahanan dan kubur besar lebih mudah berikutan penggulingan Bashar Assad.
Pemantau berpangkalan di Britain itu berkata 6,777 orang, lebih separuh daripadanya orang awam, terbunuh pada 2024 dalam pertempuran di Syria.
AFP tidak dapat mengesahkan angka ini secara bebas.
Perang saudara Syria meletus pada 2011 selepas kerajaan secara kejam menindas protes pro-demokrasi yang mencetuskan konflik dahsyat mendorong berjuta-juta orang melarikan diri ke luar negara dan menarik kuasa asing.
Tahun lalu, 3,598 orang awam, termasuk 240 wanita dan 337 kanak-kanak terbunuh di seluruh Syria, menurut pemerhati itu.
Selain itu, 3,179 pejuang terbunuh, kata pemantau itu, termasuk askar dari “rejim lama,” tetapi juga “kumpulan bersenjata Islam” dan pelampau.
Pada 2023, pemerhati itu melaporkan 4,360 orang terbunuh, termasuk hampir 1,900 orang awam.
Pada Disember, militan menggulingkan Assad, merampas kuasa dalam serangan pantas yang menamatkan lebih 50 tahun pemerintahan kuku besi keluarga itu.
Sejak 2011, pemantau dengan rangkaian sumber di dalam Syria telah merekodkan lebih 64,000 kematian di penjara Assad “disebabkan penyeksaan, kecuaian perubatan atau keadaan buruk” di penjara.
AN-AFP