SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas menolak notis usul yang difailkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, pada Januari lepas selaku pemohon.
Susulan itu, perbicaraan kes membabitkan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dijadualkan berlangsung seperti biasa pada 11 Mac ini.
“Mahkamah telah meneliti notis usul dan afidavit-afidavit yang difailkan oleh pihak-pihak, mahkamah memutuskan menolak permohonan pemohon (bagi membatalkan pertuduhan).
“Saya telah meneliti pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon-pemohon dan mendapati tiada kecacatan dalam pertuduhan dikemukakan itu,” katanya Roszianayati dalam prosiding keputusan permohonan kes itu.
BH 0NLINE-BERNAMA