KUALA TERENGGANU — Seorang pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM29,200 dan dua tuduhan memalsukan dokumen milik Persatuan Pekerja Pihak Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) cawangan Terengganu pada 2020.

Bagaimanapun, tertuduh, Jafri Wahab, 58, yang juga bekas Bendahari ANULAE mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 11, tertuduh didakwa dengan curang menyalahgunakan wang tabung kebajikan ANULAE cawangan Terengganu untuk kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah institusi perbankan di Kuala Terengganu bermula Januari hingga Julai 2020 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dan juga sebatan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank milik ANULAE cawangan Terengganu bagi tahun 2019 hingga 2020 pada 28 Jun 2020 di MBKT dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dan menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan, perlu menyerahkan pasport antabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.

BH ONLINE

LATEST POSTS