KHARTOUM – Sebuah pesawat tentera Sudan terhempas pada Selasa di Omdurman, utara ibu negara Sudan, Khartoum, mengorbankan krunya dan beberapa pegawai tentera.
Pesawat Antonov itu, yang berlepas dari Pangkalan Udara Wadi Seidna kira-kira 22 km ke utara Khartoum, jatuh sejurus selepas berlepas, kata tentera Sudan dalam satu kenyataan.
Sumber tentera, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, mengaitkan nahas itu berpunca daripada kesilapan teknikal. Pesawat dengan kru itu dilaporkan dalam misi ketenteraan, membawa beberapa pegawai berpangkat tinggi.
Saksi mata berkata, pesawat itu terbang pada ketinggian rendah sebelum tiba-tiba menjunam dan terbakar di kawasan padat penduduk.
Menurut Sudan News, nahas udara itu meragut nyawa seorang brigedier jeneral, beberapa pegawai dan tentera, dan sekurang-kurangnya lima orang awam. Serpihan pesawat itu bertaburan di seluruh rumah kediaman, dengan beberapa rumah mengalami kerosakan ketara.
Jawatankuasa Penentangan Karari, kumpulan sukarelawan tempatan, melaporkan beberapa mangsa melecur dan sepuluh mayat dibawa ke hospital berikutan kemalangan itu. Kumpulan itu juga menyatakan kecederaan parah dalam kalangan mangsa terselamat.
Nahas itu menambah krisis kemanusiaan berterusan di Sudan, yang dilanda konflik antara Angkatan Bersenjata Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas separa tentera sejak April 2023. Keganasan itu telah menyebabkan lebih 29,600 maut dan lebih 15 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.
XINHUA