KLANG — Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai diculik dan dicabul kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), minggu depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan enam suspek yang ditahan berhubung kes terbabit.

Menurutnya, kes 8 Oktober lalu itu disiasat dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), iaitu IPD Klang Selatan dan IPD Shah Alam mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dan Seksyen 375B serta Seksyen 377C kanun sama.

Bagi kes di Selangor, polis sudah merakam keterangan 25 saksi, masing-masing 15 saksi kes di Klang Selatan dan 10 saksi membabitkan kes di Shah Alam.

“Reman keenam-enam suspek hingga 30 Oktober depan. Siasatan sudah selesai dilengkapkan dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, kemungkinan besar awal minggu depan,” katanya.

Memberitahu demikian pada sidang media di Balai Polis Pandamaran, di sini hari ini, Hussein berkata, enam suspek itu akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Ia untuk siasatan bagi Seksyen 377C Kanun Keseksaan berkait kes dilaporkan di Jinjang, Kepong. Bagi kes di Selangor, siasatan sudah selesai, kita akan dakwa mereka,” katanya.

Katanya, polis masih mencari dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran berkenaan.

Terdahulu 17 Oktober lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 12 tahun diculik sebelum dicabul dan hampir dijual kepada sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu, mangsa dibawa menaiki sebuah kereta oleh empat suspek, termasuk seorang wanita yang dikenalinya sebelum dibawa ke sebuah pangsapuri di Setia Alam dan dikurung empat hari.

Sepanjang tempoh itu, mangsa dipercayai dicabul secara seksual oleh dua suspek di rumah sewa berkenaan dan hampir dijual kepada sindiket pelacuran terbabit.

Bagaimanapun, sindiket tidak jadi membeli sebelum mangsa ditemukan selamat, kira-kira jam 2.30 petang, 12 Oktober.

BH ONLINE