GEORGETOWN — Polis membuka kertas siasatan berkait dakwaan seorang wanita dijadikan perempuan simpanan oleh sindiket pemberi pinjaman wang atau along bagi melunaskan hutang bapanya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, berkata kes berkenaan masih dalam siasatan dan butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

“Ia masih dalam tindakan, cuma kita tidak boleh dedahkan dengan lanjut sebab dalam siasatan.Laporan awal daripada polis dan kita buka kertas siasatan,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Beliau hadir majlis serah terima tugas di antara Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid dengan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Halim Yatim.

Turut disempurnakan, serah terima tugas di antara Razlam dengan timbalannya, Superintendan Lee Swee Sake yang akan memangku jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut.

Hamzah mengulas video rakaman siaran langsung di TikTok berdurasi enam minit 45 saat yang tular, mengandungi perbualan di antara hos dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.

Mangsa memperkenalkan diri sebagai Isha, 26, mendakwa bapanya yang sudah bercerai dengan ibu, terdahulu berhutang RM20,000 dengan along dan gagal melunaskannya.

Pemanggil itu kemudian mendakwa dipaksa menjadi perempuan simpanan along terbabit sejak Februari lalu di sebuah ‘rumah merah’ di Pulau Pinang dan tidak diberi gaji.

Wanita itu memohon supaya diselamatkan sebelum panggilan diputuskan didakwa kerana kehadiran ‘bos’, dipercayai merujuk kepada along terbabit.

BH ONLINE

LATEST POSTS