SUNGAI BULOH — Polis sudah merakam keterangan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang didakwa ‘mengganggu’ sebuah motosikal diparkir di stesen minyak di Subang Perdana, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, keterangan kedua-dua anggota itu diambil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima laporan daripada pemilik motosikal terbabit.
“Polis belum menerima pengaduan (laporan) daripada pemilik motosikal,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang tular di media sosia menunjukkan anggota URB memeriksa sebuah motosikal diparkir di stesen minyak di Subang Perdana.
Mohd Hafiz dilaporkan berkata, pihaknya mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit 18 saat yang tular di media sosial pada Sabtu lalu.
Dalam rakaman itu, anggota rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang mendekati sebuah motosikal yang ditempatkan di stesen minyak berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan kenderaan adalah tugas harian yang dijalankan setiap petugas rondaan cegah jenayah di lapangan.
Katanya, penularan rakaman itu dilihat menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Justeru, pemilik motosikal itu diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
BH ONLINE