KUALA LUMPUR — Polis Kuala Lumpur menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun harta-benda di sekitar ibu negara.
Geng Thamu yang aktif melakukan jenayah pecah cermin kereta dan melarikan barang berharga tumpas dengan penahanan dua lelaki di sini, pada Isnin lalu, manakala Geng Tongkol yang dikesan terbabit dalam aktiviti menyamun sekolah turut dilumpuhkan selepas empat anggotanya ditahan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dua anggota Geng Thamu yang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berusia 50 tahun masing-masing warga tempatan dan warga Pakistan.
“Dalam operasi bermula jam 4.30 petang, polis merampas satu motosikal disyaki diguna suspek dalam jenayah selain beberapa barang kes seperti enam telefon bimbit, 18 komputer riba serta pakaian.
“Polis menyelesaikan 20 kes babit jenayah pecah kenderaan di Kuala Lumpur dan nilai rampasan keseluruhan dianggar bernilai RM60,000,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya, suspek utama dalam kes ini memiliki empat rekod lampau.
“Kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Bagi kes Geng Tongkol, Ahmad Sukarno berkata, empat lelaki tempatan berusia 18 hingga 20 tahun ditahan di Batu Caves, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 20 Ogos lalu.
“Polis merampas empat pasang pakaian digunakan suspek semasa melakukan jenayah, telefon bimbit, lima topi keledar, wang tunai kira-kira RM1,300 serta sebuah motosikal.
“Keempat-empat suspek direman sembilan hari sehingga 29 Ogos lalu dan mereka kemudiannya diserah kepada IPD Brickfields dan IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut kes berlainan di tempat lain,” katanya.
BH ONLINE