TBILISI — Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berkata pada Rabu, perjanjian damai dengan Azerbaijan hampir selesai, tetapi negaranya tidak akan menerima tuntutan Baku supaya ia menukar perlembagaannya.
Selepas Pashinyan membuat komen itu, pertempuran tercetus antara polis dan penunjuk perasaan, yang terbaru dalam siri protes yang mengecam dasar beliau, termasuk penyerahan kembali kampung yang musnah kepada Azerbaijan, dan menuntut beliau meletak jawatan.
Laporan dan rakaman video dari Yerevan menunjukkan polis melepaskan grenad ke arah penunjuk perasaan yang berkumpul di sekitar parlimen. Penunjuk perasaan kemudian bergerak ke bangunan kerajaan dan kemudiannya bersurai.
Pegawai polis, yang dipetik oleh agensi berita Rusia, berkata 17 pegawai cedera.
Kementerian Dalam Negeri berkata 79 orang awam cedera dan 98 ditahan.
Azatutyun, perkhidmatan Armenia Radio Liberty yang dibiayai oleh AS, berkata ketua protes itu, Uskup Agung Bagrat Galstanyan, memberitahu perhimpunan itu dia telah menuntut untuk berjumpa Pashinyan bagi membincangkan “syarat pemergiannya secara aman”.
Laman berita Armenia CivilNet memetik Pashinyan sebagai berkata bahawa teks perjanjian yang dicadangkan dengan Azerbaijan adalah “agak matang” dan ia boleh ditandatangani selepas “penyesuaian”.
REUTERS